KUBANG PASU: Sebanyak 25 tan keratan ayam sejuk beku dari Thailand dirampas kerana cuba dibawa masuk ke negara ini menggunakan dokumen mengelirukan pada Jumaat lalu.
Rampasan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini pada pukul 4 petang.
Maqis dalam satu kenyataan hari ini berkata, hasil pemeriksaan rutin dilakukan pegawai penguat kuasanya menemukan 2,084 kotak mengandungi keratan ayam sejuk beku seberat kira-kira 25 tan yang disusun dalam sebuah kontena.
“Keratan ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM250,000 itu disyaki cuba dibawa masuk ke negara ini dengan mengemukakan maklumat tidak tepat dan dokumen mengelirukan.
“Tarikh tamat tempoh pada produk tersebut didapati tidak sama dengan tarikh yang diisytiharkan pada sijil kesihatan veterinar,” katanya.
Kata kenyataan itu, kesemua barangan berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut.
“Kegagalan untuk mengemukakan maklumat yang tepat atau memberi maklumat mengelirukan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Kesalahan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” tambahnya.