PETALING JAYA: Keluarga Bonnie Bunyau Gustin nyata merindui dirinya terutama selepas hampir dua tahun tidak bertemu kerana dia menjalani latihan secara gelembung sukan di Majlis Sukan Negara (MSN).
Bapanya, Gustin Jenang berkata, hanya panggilan telefon pengubat dukanya terhadap anaknya selepas sekian lama tidak bersua muka kerana pandemik Covid-19.
Katanya, sewaktu anaknya itu merangkul pingat emas dia merasa sangat gembira dan hilang kata-kata kerana anaknya itu sudah berjaya meletakkan dirinya sebagai atlet No.1 dunia dan menggembirakan rakyat Malaysia bersempena Hari Kemerdekaan negara.
“Saya memang lama sangat tidak bertemu dengan dia sebab dia menjalani latihan secara sport bubbles kan sejak awal-awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), cuma ada masa dia telefon kami untuk lepaskan rindu.
“Saya memang tidak rancang apa-apa lagi untuk dia kalau dia balik ke Sarawak, sebab perasaan saya masih bercampur-baur tidak tahu apa nak dibuat sekarang ini. Gembira ada, sedih ada, hilang kata-kata ada,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Bonnie mencipta sejarah buat negara apabila meraih pingat emas pertama negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara powerlifting dengan melakukan angkatan 228 kilogram (kg) yang merupakan rekod temasya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga meminta Bonnie untuk segera menghubungi bapanya bagi berkongsi kegembiraan itu.
Bonnie mengakui, selepas pulang dari Tokyo, dia mahu balik ke Sarawak bagi meluangkan masa bersama keluarganya selepas sekian lama tidak bertemu akibat pandemik Covid-19.
Gustin memberitahu, anak itu sempat menghubunginya sebelum meraih pingat emas kerana takut untuk beraksi di pentas tertinggi dunia.
Katanya, dia bimbang akan berlaku kesilapan serta tidak mampu melakukan angkatan seperti biasa sedangkan seluruh Malaysia mengharapkan kejayaannya.
“Dia ada telefon saya sebelum beraksi kerana serabut, macam-macam dalam kepala dia. Saya suruh dia kosongkan kepala dan anggap ia macam kejohanan biasa.
“Dia agak takut sebab ini kali pertama dia beraksi di Sukan Paralimpik tetapi saya kata anggap macam tiada apa-apa, macam kejohanan biasa, pasti boleh,” katanya.