BUKIT MERTAJAM: Dua lagi pasar awam di Seberang Perai ditutup oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bermula hari ini susulan penularan pandemik Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pasar awam yang ditutup di sini kepada 10 buah setakat ini.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pasar itu ialah Pasar Awam Tasek Gelugor yang melibatkan empat kes positif daripada kalangan peniaga di situ dan Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara dengan lima kes positif yang melibatkan masing-masing tiga peniaga serta dua pekerja.
Katanya, Pasar Awam Tasek Gelugor akan ditutup selama 10 hari bermula hari ini sehingga 2 September depan atau sehingga dimaklumkan kelak oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) bagi membolehkan aktiviti saringan serta kerja-kerja sanitasi dijalankan di tapak pasar awam tersebut.
Menurut Rozali, hanya peniaga yang disahkan negatif dibenarkan berniaga semula pada 3 September depan atau pada tarikh lain jika penutupan dilanjutkan PKD.
“Seramai 66 peniaga yang menjalankan perniagaan di dalam pasar, lapan penjaja luar (kawasan pasar awam) serta tujuh petugas MBSP yang bertugas di pasar awam itu (Tasek Gelugor) akan disaring.
“MBSP turut menggesa mana-mana peniaga, pembantu serta orang awam yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dan telah diminta menjalani saringan segera berbuat demikian dengan menghubungi PKDSPU di talian 04-5751833 bagi mendapatkan janji temu,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu bagi Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara pula katanya, penutupan operasi bagaimanapun hanya akan dibuat selama tiga hari iaitu antara Khamis hingga Sabtu ini atau sehingga dimaklumkan semula.
“Ujian saringan mereka yang berkenaan bagaimanapun hendaklah dibuat mulai hari ini (24 Ogos).
“Hanya peniaga yang disahkan negatif dibenarkan berniaga semula mulai 29 Ogos ini atau tarikh lain sekiranya penutupan sementara ini dilanjutkan oleh PKDSPS (Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan) dengan mengemukakan bukti saringan yang telah dibuat,” katanya.
Sebelum ini, lapan buah pasar awam di Seberang Perai iaitu di Bagan Ajam; Bukit Mertajam; Chai Leng Park; Mak Mandin, Seberang Jaya, Taman Sri Rambai, Kepala Batas dan Tambun Indah terpaksa ditutup akibat penularan pandemik berkenaan sepanjang tahun ini.