BUTTERWORTH: Sindiket penipuan Macau Scam terus mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit di sini kali ini melibatkan dua mangsa yang kerugian sebanyak RM73,000.
Kedua-dua mangsa iaitu pekerja swasta berusia 40 tahun kerugian RM13,579 manakala pesara berusia 61 tahun hilang RM59,000 selepas terpedaya dengan sindiket itu yang meminta mereka berkongsi nombor kod kebenaran transaksi (TAC).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pekerja swasta itu menerima panggilan telefon daripada individu kononnya pegawai khidmat pelanggan dari syarikat aplikasi kewangan, BigPay.
Menurutnya, mangsa dimaklumkan dia perlu menukar kad bank yang mempunyai pautan dengan akaun BigPay baharu bagi membolehkannya berbelanja tanpa had.
“Mangsa memberikan butiran dua akaun perbankan miliknya selain berkongsi nombor TAC kepada suspek.
“Selepas bertindak sedemikian, dia dimaklumkan oleh pihak bank wang miliknya sebanyak RM13,579 telah dipindahkan ke akaun lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kes membabitkan pesara pula kata Noorzainy, mangsa terpedaya selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Jelasnya, mangsa dikatakan mempunyai tunggakan cukai syarikat sebelum dirujuk kepada individu kononnya anggota polis yang kemudian mendakwa dia terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Akibat panik dengan dakwaan itu, mangsa mengikut arahan suspek supaya menyerahkan maklumat perbankan termasuk nombor TAC sebelum mendapati wang sebanyak RM59,000 dari akaun banknya lesap,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menerima panggilan daripada pihak yang mendakwa pihak berkuasa selain tidak menyerahkan nombor TAC kepada orang lain kerana ia merupakan maklumat sulit.