KUALA LUMPUR: Sebahagian besar Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menyedari bahawa kewujudan satu syarikat dikenali sebagai Aabar adalah yang palsu.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd. Hazem Abdul Rahman memaklumkan demikian dalam kes perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Dia bersetuju dengan soalan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah bahawa perjanjian pada 18 Mei 2012 antara 1MDB Energy Limited dan Aabar Investment PJS Limited Aabar British Virgin Island (Aabar BVI) merupakan syarikat yang palsu.
Kata saksi pendakwaan ke-10 itu lagi, ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa menggunakan nama syarikat hampir sama bagi mengelirukan pelbagai pihak, kerajaan dan bank.
Mohd. Hazem, 49, juga bersetuju dengan soalan Muhammad Shafee bahawa modus operandi Jho Low adalah menggunakan nama syarikat hampir sama dan hanya menambah perkataan Limited.
Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee selaku peguam mewakili Najib di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Najib, 68, kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Dalam pada itu, Mohd. Hazem bersetuju dengan soalan Muhammad Shafee bahawa kesan perjanjian itu, 1MDB Energy perlu memindahkan AS$233 juta kepada Aabar BVI dan bukan Aabar Seychelles.
Saksi itu juga bersetuju dengan dua soalan oleh peguam Najib bahawa duit berkenaan masuk ke Aabar Seychelles dan tiada sebarang dokumen daripada Aabar BVI memberi kebenaran kepada 1MDB Energy untuk memindahkan wang berkenaan kepada Aabar Seychelles.
“Saya katakan kepada anda bahawa Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir dan Pengarah Eksekutif Kewangan, Terrence Geh mempunyai pengetahuan bahawa AS$233 juta dipindahkan ke Aabar Seychelles,” soal Muhammad Shafee.
Namun Mohd. Hazem menjelaskannya beliau tidak tahu dan tidak bersetuju dengan soalan Muhammad Shafee bahawa ketiga-tiga mereka dengan sengaja menyembunyikan fakta penting itu untuk menyeleweng dana berkenaan. – UTUSAN