IPOH: Seramai 102 penduduk daripada 29 keluarga di lima kampung dekat Taiping terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat petang semalam dan malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, seramai 25 keluarga terdiri daripada 44 lelaki dan 43 perempuan dipindahkan ke PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim al Baraqah di Matang kira- kira pukul 9.50 malam tadi.
“Mereka dipindahkan selepas penempatan di Kampung Sungai Rentakan, Kampung Sungai Changkat Baru dan Kampung Jebong Kiri di Matang dinaiki air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seramai empat keluarga terdiri daripada tujuh lelaki dan lapan perempuan pula dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru di Trong kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
“Mereka dari Kampung Sungai Nyior dan Kampung Sungai Tinggi, Trong, yang terpaksa berpindah kerana rumah mereka ditenggelami air,” katanya.
Jelasnya, sehingga pagi ini kesemua mereka masih berada di PPS tersebut dan pihaknya sedang memantau perkembangan terkini di kawasan terlibat.
Pada masa sama katanya, pasukan itu mengambil sikap bersiap siaga meneliti keadaan semasa terutama penempatan berhampiran sungai dan mudah ditenggelami air berikutan keadaan cuaca yang kerap hujan lebat sejak dua tiga hari ini.