Selama 10 tahun menanti 40 Orkid Harimau berbunga

10 tahun menanti 40 Orkid Harimau berbunga

PENANTIAN Faizah Awang Boh selama 10 tahun berbaloi apabila pokok Orkid Harimau berbunga di halaman rumahnya di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Orkid Harimau atau nama saintifiknya Grammatophyllum Speciosum adalah spesies terbesar dalam kalangan keluarga orkid yang tumbuh di negara beriklim panas lembab khatulistiwa.

Kecantikan dan keunikan bunga hutan itu menarik seorang suri rumah, Faizah Awang Boh, 62, menanam Orkid Harimau sebanyak 40 pokok sejak 30 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Faizah berkata, bunga hutan itu dianggap hobi ‘orang kayangan’ kerana harganya ketika pokok berbunga boleh mencecah RM500 hingga RM1,000 sepokok.

“Peminat Orkid Harimau memerlukan kesabaran tinggi kerana spesies ini hanya berbunga dari usia dari lapan tahun sehingga 10 tahun.

“Ini dibuktikan setelah menanam Orkid Harimau sejak 30 tahun di sekeliling rumah hanya tiga kali pokok itu berbunga,” katanya di sini semalam.

Faizah berkata, penantian pokok itu berbunga berbaloi kerana sekali berbunga ia boleh mengeluarkan 18 tangkai sepokok dan boleh mekar berbulan-bulan.

Menurutnya, habitat Orkid Harimau berasal dari hutan tebal yang tumbuh di atas kayu keras seperti tualang, tembusu dan lain di bahagian pokok yang mati.

Oleh itu, ujarnya, penanaman orkid itu memerlukan tunggul kayu keras seperti tunggul rambutan sebagai ‘peneman’ sebagai mana habitat asalnya.

“Orkid ini digelar Orkid Harimau kerana bunganya cantik dan wangi bertompok-tompok seperti kulit harimau.

“Terdapat juga beberapa warna Orkid Harimau seperti kuning, hijau coklat, merah kuning, merah hitam, dan oren merah,” katanya.

Tambah beliau, biasanya orkid itu ditanam di atas tanah kerana pokoknya yang besar tetapi ada juga yang tanam di dalam pasu besar.

“Saya sendiri menanam pokok Orkid Harimau sebanyak 30 pokok di atas tanah dan 10 lagi dalam pasu bunga besar diletakkan di sekeliling rumah.

“Bekalan benih orkid ini diperoleh daripada sahabat yang bekerja sebagai renjer hutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya