KUALA LUMPUR: Pelakon, Yatt Hamzah memaklumkan dia telah selamat melahirkan cahaya mata lelaki secara normal pada pukul 11.16 malam Sabtu.
Menurut Yatt menerusi Instagram miliknya berkata, bayi lelaki itu merupakan zuriat yang sudah lama dinantikan selepas dikurniakan empat cahaya perempuan sebelum ini.
“Inilah anak bertuah yang hampir-hampir keluar ikut tingkap (lahir secara bedah). Di saat-saat akhir dapat juga melahirkannya secara normal walaupun terpaksa menahan sakit ldan meneran kuat hingga pembuluh darah pecah di bawah kulit muka, mata dan seluruh badan.
“Pengorbanan ibu, asalkan anak yang dilahirkan selamat dan sihat. Alhamdulillah, inilah si bongsu anakanda putera yang ditunggu-tunggu sekian lama. Kelahiran yang dinantikan bukan sahaja kami keluarganya tapi sahabat dan pengikut bonda di media sosial,” luahnya syukur.
Pada masa sama pelakon itu turut menyatakan hasratnya untuk mengikat peranakan, “Sungguh tak sangka zuriat penutup ini, Insya-Allah,” coretnya.
Sementara itu, ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu bahawa tiada rahsia yang diamalkan untuk mendapatkan zuriat lelaki, malahan hanya memanjatkan doakan kepada Yang Maha Esa sahaja.
Yatt juga berterima kasih dalam coretan panjang itu kepada semua yang telah mendoakan agar segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan urusannya.
Suaminya, Zulfadhli Khiruddin tidak ketinggalan berkongsi menzahirkan rasa bahagianya menerima putera yang dinantikan.
Untuk rekod, Yatt mendirikan rumah tangga Zulfahdli Khiruddin pada Februari 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Suci Humaira Iqima, 5, Suci Hafya Medina, 3, dan Suci Hawa Zulaikha.
Menerusi perkahwinan sebelum ini dengan Abdul Mutalib Shukor, Yatt mempunyai seorang anak Suci Hanania Malika.