PUTRAJAYA: Pelakon dan pengacara, Zizan Razak bersedia menyumbang bakti kepada masyarakat pedalaman menerusi pelbagai kerja amal di seluruh negara ketika musim sukar ini.
Terbaharu, beliau tampil menjadi sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) untuk misi bantuan ihsan ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu.
“Ini sebenarnya kali pertama saya menyertai misi anjuran Mapim dan secara kebetulan pula melibatkan penduduk miskin yang tinggal dua pulau terpencil di negeri asal saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran konvoi misi tersebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, di sini hari ini.
Misi khas yang dinamakan sebagai Panggilan Pulau itu turut mendapat kerjasama erat daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu dan kerajaan negeri berkenaan.
Seramai 12 aktivis Mapim turut menyertai misi itu yang melibatkan 12 tan bantuan berupa lebih 1,000 kotak makanan, 500 set lampin, 500 set susu bayi serta pelbagai sumbangan lain.
Zizan, 37, atau nama sebenarnya, Mohd. Razizan Abdul Razak turut melahirkan perasaan teruja dapat ‘turun padang’ bagi menyantuni lebih 700 penduduk miskin di dua pulau tersebut.
“Saya berada selama tiga hari di setiap pulau itu dan guna kelebihan untuk bersembang santai sambil cuba mendekati penduduk dan mendengar permasalahan mereka,” katanya.
Malah, beliau mungkin cuba ‘menghiburkan’ penduduk dalam suasana norma baharu bagi memastikan tidak ada rasa tersisih kerana anggap tiada pihak cakna dengan nasib mereka.
Bekas naib juara Raja Lawak Astro musim pertama pada 2007 itu bahkan turut mengakui sering berhubung rapat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Ahmad Sani Araby Al-Kahery.
Namun sebelum itu, beliau hanya berkongsi kegiatan pertubuhan bukan kerajaan tersebut selain menyeru para pengikutnya di wadah media sosial untuk menyumbang dana dan sebagainya.
Menyentuh penglibatan artis dalam misi kemanusiaan, Zizan berkata, ramai yang terlibat tetapi mereka mungkin enggan menonjol kerana bimbang dianggap konon sebagai riak pula.
“Sebahagian besar penggiat seni tanah air memang tiada job (kerja) buat masa ini, jadi ada masa menyertai aktiviti kesukarelawanan dan kebajikan mengikut cara tersendiri,” ujarnya.
Usaha selebriti tempatan itu jelasnya, mampu mendekatkan individu rentan yang terkesan akibat Covid-19 apabila terpaksa tutup bisnes, hilang pekerjaan dan menderita kemurungan. – UTUSAN ONLINE