PETALING JAYA: Pemain No.1 negara, Lee Zii Jia gagal melangkah ke suku akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas tewas kepada pemenang pingat emas Rio 2016 dari China, Chen Long di pusingan kalah mati sebentar tadi.
Dalam aksi di Musashino Forest Sport Plaza itu menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan kanan pada awal permainan ketika menyambut bulu tangkis daripada Chen Long.
Bagaimanapun, dia berjaya bermain dengan baik pada set pertama dan mencipta kemenangan 21-8 selepas menampilkan permainan seimbang sejak daripada awal permainan.
Pada set kedua, pemain kelahiran Alor Setar itu ketinggalan pada awal permainan selepas kerap melakukan kesilapan mudah dan memberi mata kepada Chen Long yang banyak bertahan sebelum tewas 19-21.
Dalam set penentuan, Zii Jia ternyata dikawal sepenuhnya oleh Chen Long, apabila dia banyak melakukan serangan bertali arus untuk meraih kemenangan 21-5.
Keputusan itu menyaksikan Chen Long akan berdepan Chou Tien Chen dari Taiwan, esok.