IPOH: Ketua jurulatih pasukan Perak FC, Chong Yee Fatt semakin lega tujuh hari menjelang sepak mula Liga Super pada 24 Julai ini kerana dua pemain import baharu yang mengalami kecederaan sudah semakin pulih.
Dua pemain itu iaitu Jad Nourredin dan Samir Ayass sudah menyertai pasukan The Bos Gaurus itu sejak beberapa hari lalu.
Berikutan itu, kedua-dua pemain juga tidak diturunkan ketika perlawanan persahabatan dengan PDRM, di Ipoh, 10 Julai lalu.
“Sebelum ini mereka terpaksa menjalani rawatan dan saya bimbang tidak sempat pulih untuk menghadapi perlawanan dengan Terengganu FC di Kuala Terengganu, 24 Julai ini.
“Bagaimanapun mereka sudah beransur pulih dan saya yakin akan dapat diturunkan, untuk pertemuan dengan Terengganu, Jumaat ini,” kata Yee Fatt.
Jurulatih itu berkata, pemain Bos Gaurus sudah bersedia untuk mengharungi baki kempen musim ini.
“Perak punyai misi besar dan tugas getir dalam baki sembilan perlawanan kerana kedudukan kami ketika ini begitu goyah.
“Silap langkah kami akan terjerumus ke Liga Perdana, jadi setiap perlawanan adalah penting. Justeru pemain perlu beri perhatian dan tumpuan sepenuh terhadap setiap perlawanan,” katanya.
Perak FC ketika ini berada dalam kelompok tiga pasukan tercorot dalam liga 12 pasukan itu.
Bos Gaurus mengutip 12 mata daripada 13 perlawanan dan berpeluang mengejar Sri Pahang, PJ City, Sabah, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang berada di atasnya.