Yayasan Petronas bantu PdPR 414 pelajar di Johor - Utusan Malaysia

Yayasan Petronas bantu PdPR 414 pelajar di Johor

PELAJAR tingkatan tiga, Fatin Fatihah Fadzillah yang merupakan salah seorang penerima peranti digital Yayasan Petronas menyertai sesi PdPR di rumahnya di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bagi memastikan tiada pelajar tercicir pembelajaran mereka dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini, Petronas melalui Yayasan Petronas  menyumbang peranti digital dan data internet bernilai lebih RM1 juta kepada  414 pelajar di negeri ini.

Sumbangan berkenaan bertujuan  memberi akses internet yang lebih baik khususnya kepada pelajar dalam mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata, sumbangan itu merupakan komitmen Petronas terhadap program CERDIK.

Jelasnya, CERDIK adalah satu inisiatif perintis CSR oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan norma baharu pembelajaran dalam talian.

“Melalui CERDIK, kami mahu menyediakan akses yang efisien bagi mendapatkan pendidikan berkualiti selain merapatkan jurang digital kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan serta luar bandar.

“Semoga mereka tidak ketinggalan dalam mengejar kecemerlangan akademik terutama sewaktu pelaksanaan sekatan pergerakan dan sistem pembelajaran Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam program itu, Petronas menyumbangkan 414 unit peranti digital kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk diedar kepada tiga buah sekolah di Johor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kota Tinggi, SMK Simpang Renggam dan SMK Seri Lalang.

Salah seorang penerima sumbangan, Fatin Fatihah Fadzillah, 15, pula memberitahu, dia yakin tidak akan ketinggalan pelajaran lagi selepas ini ekoran kini telah memiliki peranti digital untuk kegunaannya pembelajarannya.

“Sebelum ini saya berkongsi peranti sedia ada dengan seorang lagi adik, kini saya sudah ada sendiri dan tidak akan ketinggalan kelas selain boleh memberi fokus sepenuhnya,” katanya yang belajar di SMK Kota Tinggi.

Sejak Mei tahun ini, Yayasan Petronas telah mengedarkan sejumlah 12,000 peranti digital dan peranti sokongan bernilai keseluruhan RM30 juta kepada 81 buah sekolah di 69 daerah seluruh negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya