PETALING JAYA: Usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa, meluahkan rasa kecewa apabila inisiatifnya mengedarkan bantuan kepada orang kelainan upaya (OKU) dan peniaga kecil disalah erti serta menimbulkan rasa kurang senang warganet.
Menerusi perkongsian di entri Instagram Alha, dia memberitahu tujuannya memuat naik video berkenaan bukan untuk membuka aib mahupun menunjuk-menunjuk, tetapi sebagai memberi kesedaran kepada orang ramai.
“Entahlah di Malaysia ini, memang perkara baik kita kena sorok ya semua, jangan tunjuk kepada sesiapa? Benda gaduh, pukul, menari serta mengutuk orang itu yang amat perlu ditayang…
“Bila tunjuk kita saling bantu membantu sesama kaum, katanya buka aib orang. Bila buat diam-diam, katanya yang berharta tak pernah membantu. Asyik tayang makanan, kereta serta rumah.
“Saya sebagai pempengaruh, hanya berniat nak berkongsi perkara positif yang memberi semangat kepada kita untuk saling membantu sesama kaum, bangsa serta agama,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia mengambil tindakan untuk membuang video yang dimuat naik sebelum ini sebagai menuruti kehendak warganet.
“Saya buang sebab rendah hatinya menerima segala teguran anda semua. Saya akur kalau itu yang semua nak, saya turuti.
“Janganlah jumpa saya sampai nak baling tin sardin, niat saya nak menyebarkan perkara positif. Berapa sen sangat pun yang saya bagi berbanding yang lain,” coretnya.
Sebelum ini, video berkenaan mengundang kurang senang warganert dan salah seorang meminta agar tidak merakam inisiatifnya memberi bantuan tersebut di media sosial.