Warga Indonesia guna MyKad orang lain untuk dapatkan suntikan vaksin - Utusan Malaysia

Warga Indonesia guna MyKad orang lain untuk dapatkan suntikan vaksin

WANITA Indonesia dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Jeli hari ini atas dua pertuduhan menggunakan MyKad milik wanita warga tempatan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Wanita warga Indonesia dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan MyKad milik wanita warga tempatan untuk mendapatkan dua suntikan vaksin Covid-19, pada awal bulan ini dan bulan lalu.

Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Yanik Setia Pratiwi, 36, mengaku bersalah melakukannya di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada 13 Jun dan 4 Julai lalu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, wanita itu didakwa menggunakan kad pengenalan milik Nor Athirah Zaiki, 26, untuk mendapatkan dua suntikan vaksin di lokasi tersebut pada kedua-dua tarikh tersebut.

Dia didakwa mengikut Peraturan-Peraturan 25(1)(c) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi setiap kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan. Yanik Setia gagal membayar denda tersebut.

Di mahkamah sama suami Yanik, Amiruzaman Ab Rahmad, 59, yang merupakan warga tempatan didenda RM2,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan isterinya.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Peraturan-peraturan 25(1)(m) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya. Lelaki itu membayar denda terhadapnya.

Mengikut fakta kes, kegiatan pasangan suami isteri itu terbongkar selepas Nor Athirah yang berasal dari Perak, membuat laporan polis pada 7 Julai, selepas dimaklumkan sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Sinovac mMySejahtera, sedangkan dia masih belum divaksinasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya