BALIK PULAU: Seorang warga emas tidak menyangka kediaman kayunya yang terletak di Jalan Bharu di sini dikunjungi sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya ketika usianya kini mencecah 85 tahun.
Yusoff Dali merupakan antara 10 penerima bantuan keperluan asas menerusi program Op Bantu di daerah Barat Daya yang dijalankan selama dua hari mulai hari ini.
Turut hadir menyampaikan bantuan berupa barangan makanan tersebut ialah Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal.
Yusoff berkata, dia begitu teruja bertemu kira-kira 20 anggota dan pegawai polis berkenaan sehingga menganggap dirinya individu paling bertuah.
“Usia 85 tahun baru dapat bertemu ‘mata-mata’ dengan lebih dekat. Pak cik bangga dapat jumpa depa (mereka) pada usia sebegini,” katanya.
‘Mata-mata’ adalah panggilan untuk pasukan polis pada suatu ketika dahulu.
Sementara itu, Kamarul Rizal memberitahu, bantuan tersebut diberikan kepada individu yang terkesan dengan pandemik Covid-19 termasuk warga emas yang uzur.
“Kita akan memantau dan bersedia menghulurkan bantuan kepada mana-mana individu terutama warga emas yang tinggal seorang diri termasuk untuk mendapatkan rawatan di hospital,” katanya. – UTUSAN ONLINE