LIPIS: Seorang warga emas, Siti Meriam Abdul Rafar, 82, meninggal dunia akibat tercekik buah Melaka ketika menikmati sarapan bersama ahli keluarganya di Kampung Lentang, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor, mengesahkan kejadian itu dan punca kematian wanita itu disebabkan tercekik.
“Warga emas berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Lipis pada pukul 11 pagi ini.
“Kejadian berlaku ketika mangsa dilaporkan menikmati sarapan bersama anak lelakinya dan kemudian tiba-tiba tercekik kuih berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, melihat keadaan ibunya yang tercekik makanan itu, anak lelakinya terus menghubungi petugas klinik di kampung itu untuk meminta bantuan.
“Petugas berkenaan menasihatkan ahli keluarga menghantar mangsa ke Hospital Lipis dan kemudiannya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi,” katanya.