Warden didakwa rogol penghuni pusat jagaan - Utusan Malaysia

Warden didakwa rogol penghuni pusat jagaan

AHMAD Irang @ Suhiran Aris (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol penghuni wanita sebuah pusat jagaan swasta di Mahkamah Sesyen Ipoh. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol penghuni wanita sebuah pusat jagaan swasta, Oktober lalu.

Tertuduh, Ahmad Irang @ Suhiran Aris, 43, yang merupakan warden di pusat jagaan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol penghuni wanita berusia 33 tahun apabila dia mengetahui tentang kecacatan mental, gangguan emosi atau kecacatan fizikal wanita itu pada perlakuan jenayah.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di pusat jagaan di Taman Kinding Raya di sini kira-kira pukul 8.20 pagi, 28 Oktober 2020.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebatan selain pengawasan polis maksimum tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi manakala tertuduh diwakili peguam, Datin K. Shamini.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN