LOS ANGELES : Penyanyi dan pelakon, Nick Jonas tetap tidak lupa untuk meraikan sambutan hari lahir isterinya, pelakon Priyanka Chopra, meski kedua-duanya kini terpaksa berhubungan secara jarak jauh.
Menerusi hantaran di akaun Instagramnya, Priyanka yang berada di London terharu menerima kejutan daripada Nick yang berada di Amerika Syarikat (AS) yang mana baginya, sangat manis dan begitu istimewa.
Difahamkan, Nick telah mengupah sepasukan pekerja untuk mengubah bahagian pelantar berbumbung di kediaman Priyanka agar memperlihatkan suasana yang romantis.
Selain tertera tulisan selamat hari lahir, kawasan itu juga dipenuhi dengan hiasan belon dan bunga-bungaan yang bertaburan di sekitar kolam renang.
Tidak cuma itu, Nick juga memastikan suasana romantis itu dilengkapkan dengan kehadiran sekumpulan pemuzik yang menghiburkan Priyanka menerusi alunan muzik klasikal kegemaran mereka berdua.
Usaha Nick itu ternyata berjaya mencairkan hati Priyanka yang berada di London sejak awal bulan lalu atas komitmen penggambaran sebuah drama berjudul Citadel terbitan Russo Brothers.
“Segalanya dalam hidupku. Tepat tiga tahun hari ini. Semuanya seakan sekelip mata tetapi pada masa yang sama ia juga seperti seumur hidupku. Aku mencintaimu,”kata Priyanka dengan menyertakan sekeping gambar kenangannya bersama Nick.
Priyanka dilamar oleh Nick pada tiga tahun lalu dan kemudiannya melangsungkan perkahwinan pada Disember 2018.