SEREMBAN: Hartal doktor kontrak di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini disertai kira-kira 30 orang di hospital berkenaan.
Kumpulan tersebut memulakan mogok itu pukul 11.30 pagi membabitkan pegawai-pegawai perubatan pelbagai unit itu berkumpul 10 minit di luar pekarangan Klinik Pakar HTJ.
Mereka berkumpul secara aman mengikut prosedur operasi standard (SOP) sambil memegang risalah bagi menyatakan protes dan desakan mereka.
Seorang wakil kumpulan tersebut, Dr. Muhamad Azim Mohd. Sahari, 28, berkata, mengikut perancangan kira-kira 150 orang pegawai perubatan akan terlibat dalam hartal di hospital tersebut.
Bagaimanapun, menurut beliau, ada yang tidak dapat menyertai ekoran sedang bertugas termasuk di unit rawatan rapi (ICU).
HARTAL doktor kontrak yang disertai kira-kira 30 orang pegawai perubatan yang berlangsung di perkarangan Klinik Pakar HTJ Seremban hari ini.- VIDEO/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
“Sepatutnya dalam 150 ke 200 orang tetapi masing-masing sedang bertugas, ada di ICU dan wad-wad yang kekurangan doktor. Mereka tidak tinggalkan pesakit.
“Hari ini yang menyertai pegawai perubatan kontrak yang sedang bercuti ataupun yang baru habis bekerja syif malam. Ramai lagi yang tidak dapat keluar kerana sedang bertugas,” katanya kepada pemberita di hospital berkenaan.
Sementara itu, tambah Muhamad Azim, ada pegawai perubatan yang menyertai hartal tersebut hari ini masih berstatus kontrak walaupun selepas lima tahun berkhidmat.
“Ada di antara kami pegawai perubatan kontrak yang baru setahun, dan ada nak dekat lima tahun juga iaitu bermula perkhidmatan sejak November 2017, ” katanya.
Hartal berkenaan disuraikan anggota polis yang mengawal selepas kira-kira 10 minit ia berlangsung.