KUALA LUMPUR: Menyedari ramai kalangan pelajar sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti mengalami tekanan dan kemurungan akibat pembelajaran norma baharu, pelakon dan pensyarah, Vanidah Imran, 47, percaya tidak semua mereka bernasib baik dalam meraih sebuah persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Menurut Vanidah, sebagai tenaga pengajar, dia sedar rata-rata pelajar pada masa kini berdepan dengan situasi mencabar dalam aspek pembelajaran secara dalam talian dan ia tidak sama dengan pembelajaran secara konvensional sebelum ini.
“Banyak faktor yang boleh menjadi punca kepada keadaan ini. Sebab itulah di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kami tenaga pengajar disarankan untuk peka dengan situasi pelajar. Kita kena ada inisiatif untuk ambil tahu keadaan emosi pelajar.
“Pihak universiti juga sarankan agar memberi sedikit kelonggaran untuk penetapan tarikh akhir tugasan supaya tidak bertindih dengan lambakan tugasan lain. Ada fleksibiliti agar dapat kurangkan tekanan para pelajar.
“Kita jangan fikir hanya kerana mereka pelajar, mereka tak buat apa-apa di rumah jadi boleh menghadap tugasan sahaja. Kita tidak tahu mungkin persekitaran mereka tidak kondusif. Mungkin ada sesetengah perlu berkongsi komputer riba dengan adik-beradik lain dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Vanidah mengulas situasi semasa yang mana ramai kalangan pelajar di semua peringkat mula menyuarakan perkara tersebut menerusi media sosial selain dipaparkan dalam laporan berita.
Selain itu, menurut pensyarah Sarjana Kreatif Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) itu lagi, selain gajet, antara masalah lain yang sering dihadapi pelajar ialah tahap kelajuan internet yang tidak mencapai jangkaan.
“Capaian internet dikatakan 5G, tetapi realitinya tidak. Mungkin ada keluarga yang tak cukup duit nak makan apatah lagi nak fikir kemudahan wifi? Satu lagi, masalah, sekarang ini ramai ibu bapa yang tidak bekerja atau mungkin bekerja dari rumah.
“Itu juga boleh menimbulkan tekanan kepada anak-anak dan pelajar khususnya. Mohon sangat-sangat supaya ibu bapa memahami anak-anak mereka yang sudah cukup terbeban dengan masalah pembelajaran secara atas talian kini.
“Di FiTA, lebih daripada 100 pelajar merayu untuk terus menetap di kolej dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Ia kerana mereka tidak mempunyai tempat pembelajaran yang kondusif di rumah selain kawasan itu tidak mempunyai internet
“Justeru, FiTA juga sediakan pusat bantuan makanan di kolej dengan bantuan pelbagai pihak, bagi memastikan pelajar-pelajar ini ada bekalan makanan. Kami sangat peka kerana mungkin ada ibu bapa yang tidak dapat hantar bantuan kewangan buat anak mereka di sini untuk membeli makanan,” katanya.
Dalam pada itu, kata Vanidah, dari aspek pembelajaran, tenaga pengajar baik pensyarah mahu pun guru di sekolah perlu menyahut cabaran untuk mencuba menyuntik motivasi dan kreativiti dalam teknik pengajaran supaya pelajar tidak berasa bosan.
Katanya, setiap tenaga pengajar tentunya boleh mengajar dan mendidik, tetapi meletakkan kefahaman pada setiap pelajar itu adalah perkara yang mencabar.
“Saya sentiasa cuba meletakan diri saya sebagai pelajar dalam usaha membantu memberi kefahaman kepada mereka. Jika guru cuma bercakap sahaja dan bayangkan setiap kelas semua guru begitu, sebagai pelajar mungkin saya juga akan rasa tertekan apalagi perlu melalui kelas atas talian semata-mata.
“Memang tugas tenaga pengajar ini perlukan usaha yang lebih jika mahu mencipta suasana pembelajaran yang penuh daya kreatif demi memastikan pelajar-pelajar termotivasi dan lebih bersemangat di dalam kelas,” katanya. – UTUSAN