Perhilitan ingatkan orang ramai usah beri makan kepada kera liar

Perhilitan ingatkan orang ramai jangan beri makan kera liar

SEKUMPULAN kera liar ‘menikmati’ makanan sumbangan penduduk yang bermurah hati di Taman Alam Kuala Selangor, Selangor. – IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Para pengunjung ke Taman Alam Kuala Selangor di Selangor diingatkan agar tidak sekali-kali datang untuk memberi makan kepada kera liar di kawasan hijau berkenaan.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia berkata, amalan itu tidak digalakkan kerana dibimbangi boleh membawa banyak kesan buruk.

“Antaranya, tindakan ini mengakibatkan primat tersebut bertambah populasi dengan cepat sehingga melampaui jumlah makanan semula jadi di habitat,” katanya menerusi kenyataan.

Populasi yang berlebihan ujarnya, boleh menyebabkan kelaparan dan penyebaran wabak penyakit dengan sesetengahnya adalah amat berbahaya kepada kesihatan manusia sendiri.

Agensi itu merujuk perkongsian yang tular melalui wadah media sosial dengan menunjukkan aktiviti pengunjung bersimpati memberi makan kepada kera di taman tersebut baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Perhilitan berkata, hidupan liar ada diet tertentu dan ia boleh mati jika salah diet, malah sekiranya anak haiwan itu makan silap, ia boleh merosakkan tulang dan ototnya.

Pengambilan diet yang silap ujar agensi tersebut lagi, boleh menyebabkan berlaku kecederaan pada mulut primat itu atau ia tercekik dan seterusnya akan mengakibatkan kes kematian.

“Anda berisiko cedera ketika cuba beri makan jika tidak berada pada jarak sesuai, tetapi kera atau monyet itu pula yang dipersalahkan kononnya kes serangan ke atas manusia,” katanya.

Aktiviti pemberian makanan juga akan mengubah kelakuan semula jadi primat yang lazim berdikari, bahkan boleh menimbulkan persaingan antara spesies itu untuk berebut pula wilayah.

Pada masa sama, Perhilitan bimbang ia boleh menyebabkan spesies itu hilang perasaan takut kepada manusia atau menjadi sasaran untuk dicederakan individu tidak bertanggungjawab.

Lebih dibimbangi, tindakan memberi makan berdekatan zon perumahan turut mengakibatkan insiden pecah masuk kediaman penduduk oleh primat yang sudah biasa dengan manusia.

“Monyet cenderung menyelongkar harta benda dan merosakkan tanaman ketika mencari makanan jika kelaparan atau lazim diberikan makan oleh manusia sejak sekian lama,” jelasnya.

Perhilitan menasihatkan masyarakat sekiranya berdepan dengan masalah gangguan kera atau primat liar lain untuk menghubungi talian bantuan agensi tersebut iaitu 1-800-88-5151. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya