PETALING JAYA : Sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditarik balik serta merta.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tersebut adalah berpandukan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Bagi memenuhi mandat sebulat suara perwakilan PAU 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat tadi, maka tempoh memberi sokongan kepada Muhyiddin ditarik balik dan ditamatkan serta-merta,” katanya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi.
Justeru, jelas Ahmad Zahid, UMNO mendesak agar Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik bagi tempoh terhad.
“Tempoh perdana menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.
“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, perdana menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum kKe-15.
“Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam titah Yang di-Pertuan Agong, ” ujarnya.
Beliau dalam masa yang sama turut menegaskan pendirian seperti yang telah diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai
Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PHLead Government). – UTUSAN ONLINE