Uji pandu kereta: Polis serah kompaun kepada MB Kedah - Utusan Malaysia

Uji pandu kereta: Polis serah kompaun kepada MB Kedah

GAMBAR dirakam netizen yang mendakwa Muhammad Sanusi Md. Nor memandu uji sebuah kenderaan di Autocity, Juru, Pulau Pinang ketika tempoh PKP seperti yang tular di dalam media sosial bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis telah menyerahkan kompaun kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji sebuah kenderaan di Auto City Juru, Bukit Mertajam dekat sini, bulan lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain enggan menjelaskan berapa nilai kompaun yang dikenakan kepada Menteri Besar Kedah itu.

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN

“Kompaun telah diserahkan semalam, nilai kompaun tanya pada tuan badan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Sebelum ini, laporan polis dibuat seorang individu selepas gambar yang mendakwa beberapa individu termasuk Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta di pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tersebar dalam media sosial.

Kejadian itu didakwa berlaku pada pukul 6.30 petang 5 Jun lalu yang mana Muhammad Sanusi dilihat datang ke pusat terbabit bersama dua lelaki dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA).

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily mengingatkan orang ramai agar tidak merentas negeri atau daerah bagi menyambut Hari Raya Aidiladha dan sekatan jalan raya akan terus diperketatkan bagi mengelak orang ramai melanggar arahan pihak berkuasa.

“Pihak polis telah menjalankan 46 sekatan jalan raya di negeri ini dan pada Sabtu lalu, sebanyak 30,406 kenderaan diperiksa dan 40 kenderaan diarah berpatah balik.

“Semalam pula, sebanyak 25,608 kenderaan diperiksa dan 190 daripadanya telah diarahkan berpatah balik,” katanya.

Tambahnya, mana-mana kenderaan yang didapati tidak mempunyai permit daripada pihak berkuasa akan diarahkan untuk berpatah balik.

“Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengurangkan penularan Covid-19 terutama pada musim perayaan ini.

“Bagi mana-mana pihak yang ingin melaksanakan ibadah korban, mereka juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya