SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menekankan kerjasama dengan University Of Leeds penting dalam meningkatkan kapasiti dan kemampuan penyelidikan dan akademik di UiTM selari dengan agenda negara.
Timbalan Naib Canselornya (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, University of Leeds adalah salah satu universiti terkemuka dunia yang kini berada pada kedudukan 92 berdasarkan QS Global World Rankings 2022.
“Tujuan Memorandum Persefahaman (MoU) ini adalah untuk memperkasa kolaborasi akademik dan penyelidikan antara dua universiti.
“Kerjasama tersebut meliputi projek inovasi, penyelidikan, konferens, syarahan, pertukaran bidang kepakaran dan penerbitan, penempatan pelajar dan lain-lain program yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis MoU di UiTM Shah Alam dan University of Leeds, United Kingdom yang diadakan secara maya.
University of Leeds diwakili oleh Prof. Dr. Hai Sui Yu.
Sui Yu dalam ucapannya juga bersetuju dengan kenyataan Roziah, dan berharap agar kerjasama tersebut disusuli dengan beberapa aktiviti yang telah dipersetujui bersama mengikut situasi semasa dunia sekarang merangkumi semua bidang yang ada di UiTM. – UTUSAN ONLINE