JOHOR BAHRU: Pengusaha bas di negeri ini sedia membantu kerajaan dalam mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan menawarkan perkhidmatan bas bagi pelaksanaan program vaksinasi bergerak di seluruh negara.
Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor, R. Thiagarajan berkata, baru-baru ini pihaknya telah menghantar dua bas untuk program vaksinasi bergerak di Pahang.
Jelas beliau, hal itu ekoran permintaan daripada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib.
“Kami dihubungi pihak Timbalan Menteri yang mahu menggunakan perkhidmatan disediakan kami untuk melaksanakan program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) di Maran, Pahang.
“Kami menghantar sebuah bas setingkat dan sebuah bas dua tingkat ke Kampung Orang Asli Merbau di sana,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Thiagarajan turut memberitahu, kemudahan bas berkenaan mampu membantu kerajaan memberikan sebanyak 500 dos suntikan dalam tempoh lapan jam.
“Persatuan kami juga telah dihubungi Kerajaan Negeri Selangor yang menyatakan minat untuk mendapatkan perkhidmatan bas bagi pelaksanaan program vaksinasi bergerak di negeri tersebut.
“Ketika ini, kami sedang mempersiapkan empat buah bas untuk kegunaan kerajaan negeri itu di beberapa lokasi seluruh Selangor,” jelasnya yang turut memberitahu kertas kerja bagi perkhidmatan serupa juga telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Johor.
Tambahnya, persatuan itu mempunyai seramai 91 ahli di negeri ini dan mereka bersedia membantu pengusaha bas di negeri lain yang berminat untuk membantu kerajaan melaksanakan PICK secara bergerak.
“Program vaksinasi bergerak ini dapat membawa suntikan vaksinasi kepada golongan yang tidak berupaya berkunjung ke pusat pemberian vaksin (PPV) sedia ada dalam memastikan tiada golongan yang ketinggalan mendapatkan vaksin.
“Bagi menyediakan perkhidmatan dengan ini, ruangan dalam bas perlu dimodifikasi dengan mengeluarkan semua kerusi tempat duduk untuk pemasangan stesen vaksinasi sementara.
“Modifikasi yang kami lakukan ini juga perlu mengikut kepada syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” jelasnya.