ALOR SETAR: Seorang tukang masak warganegara Syria didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapi secara bersama dengan abangnya bagi memberi rasuah berjumlah RM10,000 kepada seorang penjawat awam di Langkawi, Januari lalu.
Hakim, Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Alaa Esmail Hamed, 35, selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di di Restoran Yasmeen Express, dekat Pantai Chenang, Langkawi kira-kira pukul 12.50 pagi pada 22 Januari 2020.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, Alaa Esmail didakwa mempunyai niat bersama dengan abangnya, Ali Esmail, 38, memberikan suapan iaitu wang tunai sebanyak RM10,000 kepada seorang penolong penguasa imigresen daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) cawangan Langkawi.
Tindakan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan kepada anggota imigresen berkenaan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima pekerjanya di bawah Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam, Ai Cha Ran.
Bagaimanapun, abangnya yang merupakan seorang pengarah operasi dilepaskan dan dibebaskan.
Sementara itu, tertuduh pula membayar denda berkenaan. – UTUSAN ONLINE