ALOR SETAR: Seramai tujuh lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah pejabat kurier di sini yang didakwa melibatkan kerugian sebanyak RM400,000 dituduh di Mahkamah Majistret Alor Setar di sini hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek dituduh di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana kesalahan bersama-sama mencuri dalam bangunan.
“(Jika sabit kesalahan) boleh dihukum dengan penjara sehingga 10 tahun dan denda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, lima orang lagi suspek termasuk tiga anggota polis dituduh di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Utusan Malaysia pada 27 Jun lalu melaporkan tiga anggota polis antara enam individu yang ditahan kerana disyaki melarikan wang tunai berjumlah RM400,000 selepas memecah masuk pejabat cawangan sebuah syarikat kurier di sini.
Kamarul Zaman berkata, dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, mereka terlebih dahulu mematikan fungsi kamera litar tertutup (CCTV) dengan mencabut fius utama bekalan elektrik di luar pejabat tersebut.
Menurutnya, suspek memecah masuk premis itu dengan cara mengumpil pintu utama sebelum membawa lari peti besi berisi wang tunai berjumlah RM400,000.
Katanya, wang tunai itu adalah hasil kutipan daripada khidmat tunai ketika penghantaran yang dikumpulkan di pejabat berkenaan.