Tuduh FAMA tak bantu, pemborong durian akui tertekan - Utusan Malaysia

Tuduh FAMA tak bantu, pemborong durian akui tertekan

RAZMAN Zakaria (tengah) bertemu dengan pemborong durian yang mendakwa berlaku lambakan durian, Mohd. Firdaus Endut di Ijok dekat Larut, Perak,  hari ini.  - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Seorang pemborong durian di sini mengakui kesilapannya apabila menuduh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak membantunya ketika dia tidak dapat menjual kira-kira dua tan metrik raja buah itu di Ijok, dekat sini, baru-baru ini.

Pemborong itu, Mohd. Firdaus Endut, 41, mengakui dia berada dalam keadaan beremosi ketika membuat tuduhan itu disebabkan rasa tertekan apabila lebih dua tan metrik  buah durian yang dibelinya daripada penduduk,  tidak dapat dijual.

Katanya, kerana tertekan dan terlalu emosi dengan keadaan itu, tanpa sedar dia mengatakan FAMA tidak pernah datang membantunya sehingga menyebabkan berlaku lambakan durian dalam satu rakaman video yang tular dalam media sosial.

“Kata-kata saya itu tidak tepat, saya tidak bermaksud untuk menyalahkan sesiapa cuma pada masa itu saya tertekan apabila melihat buah durian yang banyak  di depan mata tetapi tidak boleh dijual,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Firdaus, durian yang dibelinya daripada penduduk tidak dapat dijual disebabkan sambutan AidilAdha dan kesukaran untuk menjualnya di pasaran luar Perak.

Katanya, hanya peniaga sepertinya sahaja yang tahu bagaimana tekanan yang dialami apabila buah yang dibeli dalam kuantiti yang banyak namun tiba -tiba tidak dapat dijual.

“Selepas video rakaman saya tular, pihak FAMA tampil membantu dengan membeli lebih tiga tan metrik durian. Saya amat berterima kasih kepada FAMA atas bantuan segera mereka. Dengan bantuan FAMA, saya tidak lagi bimbang dengan masalah lambakan buah,” katanya.

Menurutnya, setiap hari dia membeli lebih tiga tan durian dari penduduk sekitar dan akan memasarkannya ke Terengganu dan Kelantan.

“Namun disebabkan musim durian berlaku serentak seluruh negeri, kini kami menghantarnya ke pasaran di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria yang menemui Mohd. Firdaus berkata, tiada lambakan buah durian berskala besar di Ijok dan Batu Kurau seperti yang didakwa malah dakwaan FAMA tidak membantu peniaga yang terlibat juga tidak tepat.

“Lambakan durian di sini disebabkan musim perayaan kerana pemborong tidak dapat memasarkan buah kepada peniaga lain iaitu peniaga yang menjual dengan membuka payung dan meja yang tidak beroperasi.

“Dakwaan FAMA tidak membantu mungkin disebabkan maklumat apa yang berlaku di sini tidak sampai ke pengetahuan FAMA. Sekarang perkara ini telah selesai dan keadaan di sini terkawal,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya