Tuanku Muhriz seru rakyat Negeri Sembilan bersabar, ikut peraturan - Utusan Malaysia

Tuanku Muhriz seru rakyat Negeri Sembilan bersabar, ikut peraturan

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyeru agar penduduk di negeri ini supaya bersabar dan mematuhi peraturan ditetapkan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini.

Titah baginda, langkah dan peraturan yang ditetapkan dalam soal korban dan solat sunat Aidiladha di negeri ini adalah bertujuan mengelakkan rakyat melakukan aktiviti perhimpunan adalah demi menjaga keselamatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

“Solat sunat Aidiladha hanya dibenarkan dibuat mengikut peraturan solat fardhu Jumaat yang sedia ada. Sementara bagi Daerah Seremban yang masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), perlaksanaan solat di masjid tidak dibenarkan langsung.

“Untuk mengelakkan orang ramai berkumpul semasa melakukan aktiviti penyembelihan dan penyediaan daging korban, ibadat sunat korban pada tahun ini tidak dibenarkan. Beta yakin semua penduduk Negeri Sembilan memahami tujuan langkah-langkah ini diambil dan menyeru agar semua bersabar dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” titah baginda menerusi perutusan sempena Hari Raya Aidiadha 1442H.

Tambah baginda, semua pihak seharusnya mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di negara lain yang mengalami peningkatan semula yang mendadak kes positif Covid-19 setelah memberi kelonggaran untuk melakukan aktiviti yang melibatkan orang ramai berhimpun.

Dalam pada itu juga, Tuanku Muhriz turut memaklumkan ketua-ketua agama bukan Islam di Negeri Sembilan juga sudah bersetuju menggunakan arahan yang diberi kepada aktiviti perhimpunan Islam sebagai panduan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan mereka.

Baginda sementara itu, baginda  menzahirkan penghargaan kepada kepemimpinan kerajaan negeri, petugas kesihatan, pasukan keselamatan, penjawat awam, pihak swasta dan semua rakyat baginda yang terlibat dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Ada antara mereka yang perlu bertugas pada Hari Raya ini. Beta juga amat menghargai bantuan yang diberikan oleh para dermawan dan sukarelawan yang menyediakan dan mengagihkan makanan dan keperluan asas kepada sesiapa sahaja yang  memerlukan,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya