Tuah Mokhtar, tangkap ikan belida cuma 10 minit dapat RM200

Tuah Mokhtar, tangkap ikan belida cuma 10 minit dapat RM200

MOKHTAR Mohamad menunjukkan ikan belida yang ditangkap seberat lapan kilogram di Sungai Jelai berdekatan Kampung Gading di Lipis, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’.

Begitulah yang boleh diumpamakan bagi seorang nelayan Sungai Jelai, Mokhtar Mohamad, 55, yang cuma mengambil masa 10 minit sahaja mampu meraih rezeki dengan pendapatan RM200.

Tuah menyebelahinya apabila memperoleh seekor ikan Belida atau nama saintifiknya, Notopterus Chitala seberat lapan kilogram ketika memancing di Sungai Jelai berdekatan Kampung Ganding, dekat sini hari ini.

Mokhtar yang juga pengusaha ternakan ikan sangkar di kampung tersebut berkata, dia tidak menyangka memperoleh spesies ikan liar yang juga ada permintaan di pasaran sejak mengalih tumpuan kepada aktiviti memancing setelah ternakan sangkarnya tidak mendapat pasaran berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Biasanya setiap pagi dan petang sejak PKP awal tahun ini, ketika memancing saya hanya memperoleh ikan patin, kerai, lawang dan sebagainya bersaiz kecil serta beratnya kurang daripada satu kilogram.

“Tetapi tuah menyebelahi saya hari ini apabila mata kail yang dipasang umpan anak udang direntap seekor belida berdekatan dengan ternakan sangkar di sungai ini,” katanya di Kampung Ganding di sini hari ini. 

Menurut Mokhtar, lebih kurang 10 minit, tali jorannya mula ditarik dan kemudiannya ternampak kocakan air yang agak kuat di bawah sangkar. 

“Setelah tali pancing ditarik perlahan-lahan, saya cukup teruja kerana mata kail saya disentap oleh seekor ikan belida nampak di permukaan air.

“Ikan belida ini seberat lapan kilogram setelah ditimbang dan saya ambil keputusan menjual kepada pengusaha restoran di bandar Kuala Lipis kebetulan ada permintaan ikan liar Sungai Jelai,” katanya.

Dia berkata, ikan belida tidaklah mahal seperti ikan patin dan ikan kelah cuma RM25 sekilogram dan memperoleh RM200 setelah dipasarkan kepada pengusaha berkenaan.

“Bolehlah menampung belanja keperluan dapur untuk keluarga dalam tempoh penguatkuasaan PKP ini kerana hendak mengharapkan hasil jualan ikan ternakan sangkar semakin tenat berikutan tiada permintaan di Kuala Lipis dan luar.

“Ikan belida boleh dicampur dalam masakan asam tempoyak, masak stim halia selain bagi penduduk Lipis, ikan ini dibakar kemudian dicecah sambal kicap cili api tentu sekali menyelerakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya