Toh Puan Khadijah Mohd Nor dahului senarai penerima Darjah Kebesaran Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Toh Puan Khadijah Mohd Nor dahului senarai penerima Darjah Kebesaran Pulau Pinang 

LAW Choo Kiang (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar melihat senarai Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang  Sempena Hari Ulang Tahun ke-72 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Isteri kepada Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran Negeri apabila dianugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri iaitu Darjah Kebesaran Tertinggi bagi Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Anugerah itu diberikan Sempena Hari Ulang Tahun ke-72 Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Sementara itu, dua Darjah Panglima Pangkuan Negeri iaitu Darjah Kedua Tertinggi yang membawa gelaran Datuk Seri pula dianugerahkan kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad yang juga Pengerusi Operasi Western Digital (Malaysia) Sdn. Bhd., Datuk Dr. Syed Hussian Syed Junid.

Turut menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri itu ialah Pengerusi Kumpulan Maybank yang juga Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, seramai 1,036 individu bakal dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena sambutan ulang tahun itu dengan 148 penerima membawa gelaran Datuk Seri Utama, Datuk Seri dan Datuk.

Katanya, 148 penerima tersebut melibatkan seorang penerima untuk Darjah Utama Pangkuan Negeri; dua untuk Darjah Panglima Pangkuan Negeri; Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (15), Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (14) dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (116).

Menurutnya, seramai 15 individu pula dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri  yang membawa gelaran Datuk Seri.

“Selain itu, 14 individu menerima anugerah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk manakala 116 individu juga menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk,” katanya.

Tambah Choo Kiang, senarai penerima darjah kebesaran negeri akan diwartakan esok dan penerima boleh menggunakan gelaran setelah senarai penerima diwartakan.

Tambahnya, Ahmad Fuzi juga menganugerahkan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Pulau Pinang kepada 888 penerima pada tahun ini.

“Hari ulang tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang sepatutnya disambut pada 10 Julai lalu, namun susulan Pelan Pemulihan Negara (PPN) semua acara sempena sambutan hari ulang tahun berkenaan telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN