KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membela diri di atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM87,000 berhubung satu projek telekomunikasi.
Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu terhadap Mohd. Iskandar King, 44, yang merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pos dan E-Dagang MCMC selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Tertuduh juga diperintahkan membela diri atas pertuduhan pilihan dan dua lagi tuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan pilihan, Mohd. Iskandar didakwa menerima wang tunai RM50,000 seorang individu dengan tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan kerja rasminya di restoran di IOI City Mall Putrajaya kira-kira 8 malam, 9 Januari 2019.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, lelaki itu didakwa menerima dua cek masing-masing bernilai RM18,500 atas nama isterinya, Nur Ellina Abdul Sukor dan atas namanya sendiri daripada individu sama yang tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di Bukit Jalil Golf and Country Resort, pada jam 5 petang, 23 Jun 2015.
Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan timbalan-timbalan pendakwa raya Siti Noor Hafizan Zakaria, Francine Cheryl Rajendram dan Abdul Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam R. Sivahnanthan.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 sehingga 29 Julai ini untuk prosiding membela diri. – UTUSAN