KUALA LUMPUR: Penyanyi berbakat besar, Mimi Fly mendedahkan sebelum ini pernah mengalami detik cemas berdepan serangan panik yang masih berbekas sehingga ke hari ini.
Mimi atau nama sebenar, Shamimi Amalina Norhisham, 35, memberitahu serangan itu berlaku sekitar tahun lalu sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan.
“Serangan (panik) itu berlaku selepas saya mandi. Ia menyerang dengan pantas tanpa adanya sebarang tanda-tanda awal.
“Ketika ia menyerang, badan saya menggeletar dan bergegar sehingga saya rebah dan gagal bernafas dengan betul. Jantung seakan berada di luar jasad.
“Itu adalah tiga minit terburuk sepanjang hidup saya,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pengalaman hitam itu meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat penyanyi ini.
Meskipun merasakan dirinya sudah okay, Mimi mengakui masih khuatir sekiranya detik menggerunkan itu berulang kembali.
“Selepas kejadian itu, saya segera bertemu pakar untuk mendapatkan penyelesaian.
“Daripada saat itu barulah saya tahu bahawa kerisauan melampau yang saya alami merupakan punca kepada serangan tersebut.
“Saya tidak mahu ia berulang. Sekarang saya lebih utamakan kesihatan mental dan fizikal saya berbanding segalanya.
“Saya sedar kini saya telah banyak berubah, dahulu sering ‘mengunci’ masalah sendiri kepada seorang yang lebih terbuka, berkongsi dan luahkan apa yang dipendam diri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mimi juga memberitahu media sosial seperti BIGO banyak membantunya untuk berhubung dan berinteraksi dengan orang ramai yang berdepan depresi dan pernah mengalami serangan yang sama.
“Saya sebolehnya ingin bercerita dan berkongsi dengan mereka bagaimana untuk menghadapi masalah ini. Sebab itu saya sangat aktif menjawab segala pertanyaan yang mereka ajukan.
“Saya harap dengan cara ini saya dapat membantu. Kita perlu lebih prihatin kerana kita tidak tahu apa yang dialami dan dipendam seseorang itu meskipun kita melihat dia sentiasa ceria dan kelihatan bahagia. Mereka mungkin memendam tekanan yang boleh membahayakan,” jelasnya.