SHAH ALAM: Tidak menjadi kesalahan kepada penduduk atau peniaga di Shah Alam yang mengibarkan bendera putih di rumah atau di premis akibat terputus bekalan makanan, sebaliknya mereka wajar dibantu.
Malah ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diseru supaya melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sekiranya menemui keluarga yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan memerlukan bantuan bakul makanan.
Bagaimanapun, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan memaklumkan, setakat ini belum ada rumah atau premis dikesan mengibarkan bendera putih di kawasan Shah Alam.
“MBSA sendiri mengambil inisiatif dengan mengagihkan 1,200 bakul makanan bernilai RM50 kepada kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik semasa PKPD melalui program ‘Bakul Prihatin MBSA – Rezeki Kasih’.
“Bakul Prihatin MBSA ini diberikan kepada kumpulan sasar seperti operator dan pekerja taska, tadika serta pusat jagaan, pekerja-pekerja hotel dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas membantu MBSA semasa PKP.
“Selain itu, krew produksi seni kreatif, guru sekolah agama persendirian dan swasta serta kumpulan wartawan sambilan dan jurugambar turut diberikan,” katanya selepas menyampaikan bakul makanan di Teater Shah Alam semalam.
Mohd. Rashidi berkata, antara barang makanan asas yang disampaikan adalah beras, milo, bihun, gula kasar, tepung, minyak masak, bijirin oat, susu pekat dan sebagainya.
Katanya lagi, sejak Program Bakul Prihatin MBSA dilancarkan Februari lepas, sebanyak 4,703 bakul makanan diedarkan kepada mereka yang terkesan dan MBSA menyasarkan pengedaran sebanyak 10,000 bakul makanan kepada mereka yang memerlukan di kawasan pentadbirannya.
Selain membantu kumpulan sasar ini, pihak MBSA juga telah memberikan sumbangan Bakul Prihatin MBSA kepada kakitangan Pusat Pemberian Vaksin Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, kakitangan Pusat Pemberian Vaksin MSU Medical Centre, dan kerjasama bersama Badan Bukan Kerajaan seperti Pertubuhan Ikram Malaysia. – UTUSAN