PETALING JAYA: Berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi di universiti namun tidak pernah walau sekali merasa pengalaman hidup sebagai seorang mahasiswa di kampus.
Semua penuntut baharu universiti awam dan swasta bagi sesi 2019/2020 dan 2020/2021 yang menerima tawaran diploma dan ijazah terpaksa menjalani pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) akibat penularan pandemik Covid-19.
Ini yang mengakibatkan rata-rata penuntut baharu berasa tertekan kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sebenar di kampus, malah, tertekan kerana tugasan tidak mencapai kualiti diinginkan akibat pembelajaran secara fizikal tidak boleh dilakukan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penuntut Diploma Teater, Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), Aniq Syahmi Zulkifli, 20, mengakui pada awalnya tertekan kerana tidak tahu proses pembelajaran dan tugasan dalam persekitaran universiti sebenar malah tidak menyertai orientasi.
Dia yang berasal dari Shah Alam sudah menjalani sesi ODL selama dua semester berkata, banyak tugasan akademik terpaksa dilakukan secara dalam talian walhal setiap tugasan itu menuntut Aniq Syahmi melakukannya secara berpasukan dan fizikal.
“Saya sedih kerana seolah-olah bukannya pelajar kursus teater jauh sekali sebagai pelajar universiti. Yang saya buat kebanyakannya melibatkan proses suntingan dan rakaman seperti berada dalam dunia pekerjaan dan industri.
“Sesi ODL pula banyak kekangan dari aspek peranti yang digunakan dan rangkaian internet sedangkan tugasan saya melibatkan persembahan di atas pentas. Apa-apa hal, saya masih mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada senior,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (IPT) memaklumkan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember ini dan aktiviti akademik secara bersemuka dilarang.
Penuntut universiti tertakluk dengan arahan itu termasuk pelajar baharu bagi sesi akadmeik 2020/2021, Pelajar semester atau tahun akhir bagi pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda dan pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
Untuk rekod, seramai 109,617 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dan 48,605 pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf layak melanjutkan pengajian peringkat tinggi.
Utusan Malaysia menghubungi KPT bagi mendapatkan rekod terkini penuntut baharu universiti awam dan swasta tahun lalu namun masih belum menerima maklum balas kementerian.
Sementara itu, penuntut Sarjana Muda Pendidikan Pentadbiran Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Nurfahirah Mohammad Basri, 21, mengakui perasaan teruja bergelar mahasiswa semakin pudar namun tetap bersemangat meneruskan pelajaran dari rumah.
Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPTM) tahun 2019 dari SMK Bugaya, Semporna, Sabah berkata, dia tidak pernah menjejak kaki ke universiti walaupun kini sudah di semester dua pengajiannya.
“Biasanya, pelajar universiti akan pergi ke kuliah dengan cara pemakaian sebagai mahasiswa, berinteraksi dengan rakan dan pensyarah. Malangnya, saya tidak merasa pengalaman jauh sekali bersemuka dengan rakan sekelas,” katanya. – UTUSAN