SEREMBAN: Pendirian diambil UMNO sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat malah parti itu juga diasaskan demi memperjuang kepentingan rakyat.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, perkara itu terus menjadi pendirian UMNO selain memperjuang kaum Melayu, memuliakan agama Islam, memelihara kehormatan institusi diraja dan membangunkan negara.
“Sebagai parti politik, kejelasan sebuah pendirian sangat penting, tanpa pendirian, UMNO jadi hanya sebuah parti terdaftar, bukan sebuah perjuangan.
“Dalam keadaan negara yang sangat meleset, justeru UMNO wajar tampil dengan sebuah pendirian. Membiarkan kemelesetan negara ini menerus, laksana UMNO merestuinya. Pendirian UMNO mesti berpaksikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohamad, apabila sistem kesihatan semakin parah, ekonomi merudum dan kemiskinan meningkat, demokrasi diselewengkan malah institusi diraja disanggah, UMNO tidak boleh menjadi sebahagian daripada kemelesetan tersebut.
“UMNO mesti senafas dengan kesusahan rakyat, bukan kuasa dan kedudukan. Fitrah UMNO adalah parti untuk orang kebanyakan serta biasa-biasa maka untuk merekalah UMNO harus bersuara dan berjuang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta semua ahli UMNO untuk yakin dengan keputusan dan pendirian yang diambil oleh parti itu.
Tambahnya, pendirian kepemimpinan UMNO tidak akan tergelincir daripada keutamaan rakyat, negara dan parti selain ia pasti selari dengan keputusan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.
“Tiada individu lebih besar dari UMNO, tiada tokoh lebih penting dari parti dan rakyat. Tiada kuasa lebih besar dari kuasa rakyat, tiada perjuangan lebih bererti daripada perjuangan untuk rakyat yang marhaen dan yang terjejas.
“Insya-Allah, UMNO telah ada sebuah pendirian dan jalan kehadapan, semoga jalan dan pendirian yang direncanakan ini adalah sebaiknya jalan dan pendirian untuk rakyat, tanah air dan parti kita UMNO. Kepada ahli dan rakyat, UMNO sandarkan masa depannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE