ENGLAND harus menumpaskan Ukraine di suku akhir demi memastikan skuad Three Lions terus ‘mengaum’ dalam saingan Euro 2020.
Hanya dengan kemenangan itu sahaja mampu mengabulkan hajat pasukan bimbingan Gareth Southgate untuk mara ke separuh akhir selepas melakukannya pada kejohanan Piala Dunia tiga tahun lalu.
England yang kali terakhir menjuarai trofi dalam kejohanan besar pada 1966 kini menjadi pilihan untuk menjuarai Euro 2020 selepas menundukkan Die Mannschaft dua gol tanpa balas di Wembley Rabu lalu.
Kapten dan penyerang England, Harry Kane berkata, mengalahkan Ukraine adalah matlamat utama pasukan demi memastikan skuad Three Lions itu terus ‘bernyawa’ dalam saingan Euro 2020.
“Sudah tentu kemenangan itu sangat penting dan ia akan menentukan kami layak ke peringkat seterusnya.
“Sebagai pemain, ia menjadi salah satu perasaan menakjubkan. Kami tahu ramai yang menaruh harapan pasukan ini mampu melakukannya,” kata Kane.
Pada pertemuan dengan Jerman, Kane dan Raheem Sterling menjadi senjata berbisa England apabila masing-masing merembat gol dan kemenangan itu disambut teriakan gemuruh penyokong dan peminat Three Lions itu.
“Kami memberikan mereka sebuah momen yang mereka tunggu sekian lama. Ia sangat istimewa apabila dapat melakukannya,” tambah Kane lagi.
Sementara itu, pemain tengah Ukraine, Ruslan Malinovskyi percaya kesemua tekanan akan terarah kepada England ketika kedua-dua pasukan itu berentap.
“Pada perlawanan Euro kali ini, banyak kejutan berlaku. Banyak pasukan bukan pilihan dapat menumpaskan pasukan lain. Seperti Switzerland dan Republik Czech (masing-masing menang ke atas Perancis dan Belanda).
“Ia membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil. Semua pasukan boleh menang. Bagi saya, ini membuatkan bola sepak semakin indah.
“Kami kini berada dalam keadaan baik untuk menentang England. Perlawanan ini pasti menjadi salah satu persembahan menakjubkan kepada kami,” kata Malinovskyi. – AGENSI