'Terima kasih Datuk Tan', 250 pelajar B40 dapat telefon pintar - Utusan Malaysia

‘Terima kasih Datuk Tan’, 250 pelajar B40 dapat telefon pintar

TAN Lek Khang (belakang dua dari kanan) bergambar bersama antara pelajar B40 yang menerima telefon pintar untuk digunakan bagi PdPR di Chaah, Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kesukaran 250 pelajar dari keluarga B40 di daerah ini yang tidak memiliki gajet untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selesai melalui sumbangan telefon pintar oleh Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatian (PKJP).

Sumbangan dibuat PJKP melalui kerjasama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) selain pengurusan sekolah di sekitar daerah ini yang mana gajet itu diberikan terus kepada pelajar yang terjejas.

Seorang ibu, M. Henmolie, 32, berkata, kekangan kewangan menyebabkan dua anaknya di darjah tiga dan enam terpaksa bergilir-gilir menggunakan satu-satunya telefon bimbit yang dimilikinya untuk mengikut kelas PdPR.

“Suami kerja di kilang agak jauh dari rumah dan saya pula kerja di Chaah. Saya memang tinggalkan telefon pintar saya untuk digunakan oleh kedua-dua anak belajar dan kerap pelajaran mereka bertembung dan ini agak sukar buat mereka.

“Sumbangan telefon pintar ini amat diperlukan dan saya berterima kasih kepada Datuk Tan (Lek Khang) yang segera menyumbangkan gajet ini bagi pembelajaran anak-anak saya,” katanya di sini hari ini.

Semalam, 10 lagi pelajar dari keluarga B40 menerima telefon pintar masing-masing hasil kerjasama dengan PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Cantuman Chaah dan beberapa pihak di sini.

PIBG sekolah berkenaan sebelum itu melakukan kaji selidik dan mengenal pasti kalangan pelajar dari keluarga B40 yang bergelut dengan kekurangan gajet sebelum menyerahkan senarai kepada Pengerusi PKJP, Datuk Tan Lek Khang.

Seorang bapa yang juga orang kurang upaya (OKU), Sami Dass, 43, pula berkata, dengan adanya telefon pintar itu, ia akan dapat memastikan anaknya tidak terlepas kelas yang diadakan secara dalam talian.

“Keluarga kami hanya ada satu telefon pintar dan saya terpaksa gunakannya untuk bekerja. Apabila saya keluar bekerja, anak saya akan terlepas kelas kerana kami tidak mampu untuk membeli telefon baharu,” katanya.

Sementara itu, Lek Khang berkata, kerjasama dengan PIBG adalah satu usahasama pintar kerana melaluinya mereka dapat mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan gajet itu.

“Sebagai NGO, kita perlu bekerjasama dengan pemegang taruh seperti PIBG dalam mengenalpasti pelajar yang terjejas dalam memastikan tiada pelajar tercicir ketika kita mendepani pandemik ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya