JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menerima hakikat bahawa pelaksanaan Ordinan Darurat bagi mengekang pandemik Covid-19 bukan sahaja gagal tetapi membuang masa rakyat negara ini.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pelaksanaan Ordinan Darurat sejak 13 Januari lalu juga tidak memberi sebarang impak terutama dalam menentang pandemik Covid-19.
Jelasnya, dalam tempoh darurat bilangan kes positif Covid-19 harian lebih tinggi berbanding sebelum pelaksanaan darurat.
“Contoh paling jelas, pelaksanaan darurat tidak menunjukkan penurunan malah meningkat mendadak sehingga hampir mencecah 18,000 kes sehari.
“Dengan darurat, kerajaan seharusnya bertindak lebih menyeluruh dengan mempergiat proses pemberian vaksin dan mengarahkan mana-mana hospital, klinik swasta atau premis perubatan bukan kerajaan untuk turut sama membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin.
“Ternyata pengisytiharan darurat ini tidak langsung memberi kelebihan pada mana-mana pihak, tetapi beri mudarat kepada rakyat dan ekonomi secara keseluruhannya di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Pada hari pertama sesi Parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan enam Ordinan Darurat yang diluluskan Yang di-Pertuan Agong dibatalkan pada 21 Julai lalu dan kerajaan tidak akan menasihati Seri Paduka untuk meneruskan Proklamasi Darurat.
Kata Mohd. Hairi, justeru tidak hairan sekiranya pelaksanaan darurat dilihat memberi kelebihan dan ‘nyawa’ kepada pihak eksekutif untuk terus ‘bernafas’ dan mengambil gaji mereka yang lumayan.
Beliau menyifatkan apa yang dituturkan menteri berkenaan sebagai satu penghinaan dan pencabulan terhadap Parlimen serta rakyat Malaysia secara keseluruhan.
“Kami tidak mempersoalkan mengapa Ordinan Darurat ini dibatalkan, malah Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor bersetuju dan menyambut baik Ordinan Darurat ini dibatalkan.
“Tetapi mestilah dengan cara yang betul dan dimaklumkan secara rasmi kepada semua pihak sebelum pengumuman seperti itu dibuat.
“Sehubungan itu, kami mendesak Menteri Undang-Undang untuk menjelaskan situasi terkini mengenai penguatkuasaan Ordinan Darurat dengan sejelas-jelasnya selepas menimbulkan pelbagai persoalan dan rasa tidak senang rakyat dengan kenyataan diberikan beliau,” ujarnya. – UTUSAN