KUALA TERENGGANU: Bilangan jemaah solat Jumaat dan fardu di Terengganu dibenarkan mengikut keluasan masjid atau surau sepanjang tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kehadiran jemaah bagaimanapun terhad kepada ahli kariah yang bermastautin dan warganegara sahaja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Katanya, bagi solat sunat Aidiladha pula, hanya jemaah lelaki dibenarkan hadir ke masjid dan surau seluruh negeri.
“Imam-imam dikehendaki membaca doa qunut nazilah ketika solat Jumaat dan doa mohon dijauhi dari wabak penyakit yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) setiap kali selepas solat hajat serta bacaan Yasin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Osman, semua masjid turut dikehendaki melaksanakan solat sunat hajat selepas solat Jumaat dan Maghrib.
Katanya, aktiviti lain di masjid dan surau masih tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran Maidam.
Sementara itu, menurutnya, pelaksanaan ibadah korban di Terengganu masih mengikut ketetapan yang dibuat pada 1 Julai lalu.
“Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat bersama-sama bermunajat, berzikir, beristighfar dan berselawat di samping memperbanyakkan doa supaya wabak Covid-19 diangkat oleh Allah SWT,” katanya. – UTUSAN ONLINE