JOHOR BAHRU: Pemuda UMNO Simpang Renggam berpendapat keputusan parti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN), hanya menambah siri perpecahan dalam UMNO.
Ketuanya, Mohd. Faizal Md. Said berkata, ini kerana perkara itu berkemungkinan membawa tohmahan daripada kelompok Majlis Tertinggi (MT) terhadap ahli Parlimen UMNO terutama yang menjadi Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri dalam PN ketika ini.
“Kita tahu ahli Parlimen yang berjawatan menteri ada tanggungjawab besar kepada rakyat untuk memerangi pandemik Covid-19, jadi dengan keputusan tersebut apakah tidak akan menimbulkan dilema dalam kalangan mereka.
“Walhal sudah diputuskan pada Persidangan Agung UMNO (PAU) 2020 bahawa sokongan kepada PN sehingga pilihan raya atau Parlimen terbubar, maka akar umbi masih berpegang kepada keputusan itu.
“Saya lihat kenyataan terbaharu Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hanya akan meneruskan siri pemecahan dalam parti antara MKT, ahli Parlimen terutamanya yang bergelar menteri dan ahli-ahli parti sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini
Sementara itu, Mohd. Faizal berkata, Pemuda UMNO Simpang Renggam yang mempertahankan institusi Presiden dengan membuat laporan polis berhubung klip audio tular membabitkan Ahmad Zahid sebelum ini juga terasa seperti ditipu dan diperbodohkan setelah pengakuan dibuat Presiden sendiri.
Menurutnya, sebagai Presiden, Ahmad Zahid telah menggunakan jawatannya untuk berbohong apabila menafikan secara rasmi suara itu miliknya sehingga mendorong Pemuda UMNO Simpang Renggam membuat laporan polis pada April lalu.
“Sebagai ketua pemuda dan ahli parti, saya bertanggungjawab membuat laporan untuk membersihkan nama Presiden parti kerana saya percaya polis akan membuat penyiasatan agar perkara itu tidak membawa kepada unsur fitnah.
“Tetapi, selepas terbaca sendiri laporan berita mengenai pengakuan Ahmad Zahid, kami rasa ditipu secara terang-terangan oleh Presiden dan amat berkecil hati dengan tindakan beliau yang menggunakan kapasiti Presiden untuk berbohong,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Faizal mengarahkan Setiausaha Pemuda bahagian itu menarik semula laporan polis terbabit kerana tidak ada keperluan untuk membersihkan nama institusi presiden dan parti ekoran pengakuan berkenaan.
“Kami juga mendesak beliau melepaskan jawatan kerana sudah menjadi liabiliti kepada UMNO ekoran kredibiliti yang amat dipertikai serta perangai menipu secara terang-terangan seperti yang terbukti dalam isu audio tular itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE