Tambah senarai pulau peranginan Destinasi Bebas Covid-19 - Utusan Malaysia

Tambah senarai pulau peranginan Destinasi Bebas Covid-19

ZAMBRY Abd. Kadir (kanan) meninjau keadaan rumah Amran Bujang yang terbakar malam kelmarin, di Seri Manjung. - UTUSAN/ SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kerajaan disaran menyenaraikan beberapa lagi pulau peranginan selain Langkawi sebagai projek perintis Destinasi Bebas Covid-19 dalam Pelan Pemulihan Pelancongan (TRP) yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mencadangkan agar pulau lain turut dimasukkan dalam program itu seperti Pulau Pangkor, Tioman dan Labuan.

Jelasnya, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini.

“Untuk mencapai imuniti kelompok di seluruh negara mungkin mengambil masa berbulan-bulan, tetapi ada contoh yang boleh kita mulakan dan di peringkat ini, mungkin boleh dilakukan di pulau terpilih agar penduduk dalam pulau tersebut mencapai tahap imuniti kelompok.

“Ia secara tidak langsung membolehkan pelancong-pelancong datang sepertimana yang kita lihat eksperimen dilakukan di beberapa destinasi seperti di Phuket, Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Amran Bujang, 63, yang rumahnya terbakar malam kelmarin, di Fasa 2F Seri Manjung dekat sini hari ini.

Zambry yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut dan Pengerusi Malaysia Airports Berhad (MAB) turut menyampaikan sumbangan peribadi selain meminta agensi kerajaan berkaitan membantu membina semula rumah yang terbakar 90 peratus itu dan kerugian lebih RM120,000.

Baru-baru ini, Khairy Jamaluddin berkata, vaksinasi besar-besaran akan dilaksanakan di Pulau Langkawi sebagai projek perintis untuk TRP.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kenyataan menjelaskan, satu ketetapan dibuat untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis bagi program Destinasi Bebas Covid-19 bagi fasa pertama TRP.

Kenyataan itu menyatakan, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada penduduk Pulau Langkawi serta menjadikan Kompleks Kraf Langkawi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Tambahan mulai pertengahan bulan ini.

Menurut Zambry, langkah menjadikan semua pulau tersebut sebagai Destinasi Bebas Covid-19 bukan sahaja memulihkan kembali aktiviti berkaitan pelancongan yang terjejas teruk tetapi turut membolehkan aktiviti lain seperti pengangkutan awam dan premis perniagaan bukan keperluan dapat beroperasi semula.

“Di Pulau Pangkor, kira-kira 2,000 orang daripada hampir 8,000 penduduk yang mendaftar sudah divaksinkan dan berharap imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin, walaupun beliau percaya sebenarnya masih ramai yang belum mendaftar untuk divaksinkan di pulau tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya