TUMPAT: Gembira bukan kepalang Muhammad Haris Adam Izrail Abdullah, 11, apabila dia menerima sumbangan telefon pintar untuk digunakan bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), semalam.
Ini kerana murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Bharu itu tidak perlu lagi berebut telefon pintar dengan adiknya, murid tahun tiga di sekolah sama dan sering beralah sehingga dia kerap ponteng sesi PdPR.
Ibunya, Nor Hayati, 37, yang berniaga kuih muih untuk menyara keluarga berkata, selain terpaksa berebut telefon pintar apabila sesi PdPR mereka bertindih, dua beradik itu perlu ponteng kelas dan ‘beralah’ kepadanya pula jika dia keluar untuk berniaga.
“Ketika keluar menghantar kuih mengikut pesanan setiap hari, saya perlu guna telefon untuk berurusan dengan pelanggan. Jadi mahu tak mahu, anak-anak terpaksa beralah dengan ibu sendiri.
“Jadi keraplah anak-anak ponteng sesi PdPR sehingga tercicir dalam pelajaran, berbanding rakan mereka yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi penyerahan telefon pintar di rumah mereka di Jalan Pasar Lama, Wakaf Bharu, di sini semalam.
Nor Hayati adalah ibu tunggal menyara tiga anak berusia 14, 11 dan 9 tahun seorang diri selepas ‘digantung’ tidak bertali oleh suami yang meninggalkan mereka empat beranak kira-kira tiga tahun lalu.
Selain telefon pintar sumbangan Group Gatih Amal (GGA) dan Syarikat MZ Gold yang diserahkan Pengerusi GGA, Abd. Halim Shafai, satu tabung khas diwujudkan bagi membantu keluarga Nor Hayati menyelesaikan bil elektrik dan data internet anak-anaknya.
Bercerita lanjut tentang kehidupannya yang kian terhimpit akibat pandemik, Nor Hayati berkata, pendapatannya terjejas teruk sejak awal tahun ini sehingga hanya cukup-cukup untuk membayar sewa rumah sebanyak RM120 sebulan.
“Kami makan setakat yang mampu dan berusaha untuk berjimat cermat. Memang harap sangat supaya PKP segera tamat dan saya boleh berniaga kuih dengan lebih bebas seperti sedia kala untuk sara diri dan anak-anak.
“Mujurlah anak sulung berusia 14 tahun bersekolah di sebuah pondok dan segala makan minumnya ditanggung pihak pengurusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE