PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah terkenal, Michael Ang, meluahkan rasa berang apabila segelintir warganet kurang senang jika seseorang selebriti menyatakan pendapat berkaitan politik negara di media sosial mereka.
Menerusi perkongsian di entri Instagram Michael, dia membidas semula kata-kata negatif segelintir warganet yang dilihat memperlekehkan para selebriti yang menyuarakan mengenai politik.
“Banyak pula ciapan yang maki dan suruh artis diam, jangan masuk campur tentang politik. Mari sini nak cakap, artis pun manusia biasa macam kamu semua, ada otak serta perasaan.
“Bila artis bersuara tentang keadaan Malaysia, kau orang maki. Mungkin ada luahan hati artis salah, tapi ada juga betul yang menyuarakan perkara sama majoriti rakyat fikirkan!
“Tak perlu maki jika tidak sama haluan politik kamu semua. Artis tak boleh bersuara eh? Artis juga rakyat Malaysia! Mereka juga terkesan dengan keadaan sekarang,” luahnya.
Tambah Michael, dia turut menyatakan jika seorang artis tampil bersuara berkaitan perkara berkenaan pasti mengambil risiko yang tinggi berbanding dengan yang lain.
“Kalau kamu semua nak tahu, artis yang bersuara itu mengambil risiko yang amat tinggi. Kau orang menyumpah itu lepas semua ini reda, balik ke hidup macam biasa!
“Artis? Sah-sah ada yang akan kena gam. Tak boleh kerja dan dapat projek semata-mata kerana bersuara. Jadi, pakai otak itu sebelum nak menyumpah dan maki kita ya!
“Bila nak minta artis promosikan perniagaan kamu semua nak pula, bila artis bersuara tentang keadaan Malaysia, kau orang maki!” coretnya.