Poklip kadang-kadang tak faham dengan hati segelintir pihak. Orang buat baik pun boleh disalah erti. Jadi sukarelawan dikata konon acah-acah baik. Tolong bagi bantuan dituduh menunjuk kaya.
Eh, memang tak ada istilah ikhlas dan baik hati ke dalam kamus hidup kamu semua? Asyik tahu nak kecam dan mengata orang. Sebab itu Poklip semakin kurang gemar bermain media sosial, takut nak baca komen-komen sebegitu.
Cuma Poklip nak ucap sekalung tahniah kepada barisan pemain industri seni tanah air yang sanggup turun padang melupakan status glamor sebentar untuk membantu mereka yang terjejas akibat pandemik.
Perkongsian demi perkongsian dimuat naik menunjukkan tak semua artis di Malaysia ini hendak tagih kontroversi. Masih ada yang berjiwa hamba menggerakkan kempen dan berusaha untuk membantu agensi terlibat.
Walaupun ada yang dikecam dan dikatakan konon mahu menunjuk, nasihat Poklip abaikan sahaja komen sebegitu. Buang masa hendak layan mereka yang berfikiran sempit dan berhati bus… itu.
Mimi Lana,Daiyan Trisha, Nazim Othman dan ramai lagi antara mereka yang selalu berkongsi kisah mereka menyarung jersi sukarelawan. Malah ada juga yang mengumpul dana seperti Radin dan Abby Abadi.
Tidak perlu untuk kita mempertikai niat atau keikhlasan hati seseorang. Sepatutnya kita mengucapkan terima kasih dan syabas kerana mereka menggunakan status pempengaruh dengan berjaya.
Ini tidaklah hanya kerja buat live di Instagram tetapi mengata itu mengata ini. Rasa diri sendiri sahaja yang layak disanjung. Malas nak layan artis sebegitu!