Syarikat swasta minat bina terowong dasar laut Pulau Pinang - Saksi - Utusan Malaysia

Syarikat swasta minat bina terowong dasar laut Pulau Pinang – Saksi

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, sebuah syarikat swasta berminat membina terowong dasar laut di Pulau Pinang dengan anggaran kos RM10 bilion melalui perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan kerajaan negeri, 10 tahun  lalu.

Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata, beliau dimaklumkan oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa syarikat Beijing Urban Contruction Group Sdn. Bhd. (BUCG) berminat untuk melaksanakan projek tersebut.

Ujar saksi pendakwaan ketiga itu, butir-butir cadangan pembinaan projek tersebut dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri bertarikh 26 Januari 2011 yang turut dihadirinya selaku Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Bagan Jermal itu, beliau turut diarahkan untuk meminta wakil daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menyediakan kertas kerja `Perancangan Link Ketiga Pulau Pinang, Jalan Lingkaran Dalaman Georgetown dan Jalan Pintas (By-Pass) Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Air Itam.

Beliau yang kini Ketua Seksyen Pengangkutan, Bahagian Perancangan Ekonomi negeri berkata,  Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 Mac 2011 diberitahu bahawa BUCG meminta agar MOU ditandatangani secepat mungkin.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Hock Seng berkata, MoU dengan BUCG kemudian ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan negeri (SUK) ketika itu, Datuk Seri Farizan Darus bagi pihak kerajaan negeri pada 17 Mac 2011 bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.

Saksi berkata, satu lagi MoU ditandatangani di Putrajaya pada 28 April 2011 yang mana BUCG akan membiayai projek pembinaan terowong sepanjang lima kilometer dengan anggaran kos RM10 bilion.

Ujarnya, ekoran perjanjian tersebut, seramai 10 delegasi kerajaan negeri telah menyertai rombongan lawatan ke Beijing, China dari 2 Jun 2011 hingga 8 Jun 2011 untuk melihat projek mega yang dilaksanakan oleh  BUCG.

Hock Seng menyatakan, Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri kemudian memohon pihak BUCG mendapatkan pandangan Kerajaan Persekutuan berkaitan implikasi perundangan terhadap pembinaan lebuhraya bertingkat dan terowong.

Menurut saksi, pihak BUCG turut dimohon membuat anggaran kos kajian kesesuaian dan rekabentuk bagi ketiga-tiga projek termasuk formula pembiayaan kos.

Ujarnya, kos kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) bagi projek pembinaan tiga jalan utama di Pulau Pinang tidak dijelaskan kepada kontraktor secara tunai, sebaliknya dibuat melalui pemindahan dua lot tanah milik kerajaan negeri.

Menurut beliau, keseluruhan kos kajian kebolehlaksanaan dan perincian rekaan awal bagi projek jalan-jalan utama dan terowong dasar laut adalah sebanyak RM305 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes rasuah Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Guan Eng, 60, didakwa terhadap tuduhan pindaan menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinanguntuk menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini mengikut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

 Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya