Syarikat didenda RM25,000 gagal patuh prosedur keselamatan - Utusan Malaysia

Syarikat didenda RM25,000 gagal patuh prosedur keselamatan

WAKIL syarikat pembuatan makanan (tengah) yang didenda RM25,000 atas pertuduhan gagal mengadakan prosedur kerja yang selamat hingga menyebabkan kecederaan kepada pekerjanya dalam kejadian April lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.  - IHSAN JKKP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah syarikat pembuatan makanan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan gagal mengadakan prosedur kerja yang selamat hingga menyebabkan kecederaan kepada pekerjanya, April lalu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, Syarikat Bestcan Food Technological Industry Sdn. Bhd. itu dijatuhi hukuman denda setelah mengaku bersalah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Syarikat tersebut yang diwakili pengurus lojinya itu juga berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat berkenaan sebagai majikan gagal mengadakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti kerja ‘troubleshooting’ pada mesin sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan kepada seorang  pekerja lelaki warga tempatan berusia 32 tahun.

Kemalangan pada 30 April 2020 itu menyebabkan tangan mangsa tersepit pada ‘endsealer’ mesin dan mengalami kecederaan pada jari tangan kanan iaitu luka terbuka pada jari telunjuk, putus jari tengah, putus jari manis dan putus dua ruas jari kelingking.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Mudzaffar Anwar Husain dan Mohd Fadhil  Abu Yazid manakala syarikat itu diwakili peguam, Cheow Wee Mai dan Foo Mei Jin.

Syarikat tersebut membayar denda berkenaan.  – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN