PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Elyana Emrizal, memaklumkan terpaksa meminta kebenaran keluar wad daripada pihak hospital sementelah tiada yang boleh menemaninya pada waktu malam.
Menurut Elyana, dia meminta kebenaran tersebut kerana suaminya tidak dibenarkan untuk menemaninya pada sebelah malam untuk membantu mengurut anggota badannya.
“Malam tadi saya minta kebenaran keluar wad dan Alhamdulillah doktor beri kerana suami tidak boleh temankan saya ekoran musim pandemik.
“Jika tiada yang teman agak susah sedikit kerana setiap malam saya perlu diurut oleh sebab perjalanan darah saya tidak betul.
“Jadi, badan saya sakit, kaki serta tangan kebas. Bagaimanapun, saya akan ulang alik untuk mendapatkan rawatan selama seminggu ini,” katanya menerusi Instastory.
Dalam pada itu, Elyana juga berkongsi hampir setengah jam menjalani rawatan radioterapi yang melibatkan tiga bahagian dalam tubuh badannya, semalam.
Tambahnya lagi, dia akan menjalani rawatan radioterapi kedua pada jam tiga petang, hari ini.
Sehubungan itu, dia meminta agar orang ramai mendoakan dirinya kuat menjalani rawatan dan diberikan kesihatan yang baik pada masa akan datang.