Sultan Kelantan titah 'jangan rentas negeri, balik kampung' - Utusan Malaysia

Sultan Kelantan titah ‘jangan rentas negeri, balik kampung’

SULTAN MUHAMMAD V
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan rakyat Kelantan supaya kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berjalan ketika ini, termasuk larangan rentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman.

Menurut Setiausaha Sulit Kanan Sultan Kelantan, Datuk Nik Mohd. Shafriman Nik Hassan, baginda bertitah, tidak berjumpa dengan ibu bapa ketika masih dalam pandemik bukan bermakna tidak menyayangi mereka.

Ia sebaliknya pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi keluarga masing-masing.

“Apabila tidak berjumpa dengan ibu bapa, kita tidak mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan virus Covid-19 yang kini mempunyai mutasi yang semakin ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi.

“Dengan kes positif di Kelantan masih di paras tiga angka, rakyat perlu sentiasa berwaspada, tidak alpa dalam mematuhi garis panduan seperti memakai pelitup muka, penjarakan sosial, dan menjaga kebersihan diri,” katanya membacakan titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Mohd. Shafriman berkata, dengan peningkatan kes sebanyak 13,215 kes hari ini, baginda menasihatkan supaya status pembukaan masjid-masjid dikekalkan seperti ketetapan yang sedia ada.

Baginda menyeru supaya rakyat mengambil iktibar daripada kluster masjid yang berlaku sebelum ini kerana virus itu tidak mengenal orang, tempat dan waktu.

Baginda turut menyeru supaya rakyat bersabar menempuhi kesukaran ini dan berganding bahu memainkan peranan masing-masing bagi meringankan beban petugas kesihatan yang sedang berusaha menyelamatkan nyawa ribuan pesakit di seluruh negara.

“Baginda mengajak semua rakyat terus berdoa supaya kes yang meningkat sejak akhir-akhir ini dapat dilandaikan dan imuniti kelompok berjaya dicapai secepat mungkin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya