PETALING JAYA: Pelakon, Datin Rebecca Nur Al Islam, memaklumkan keadaan suami tercintanya, Datuk Norazam Sulaiman, kini sudah menggunakan mesin oksigen untuk bantuan pernafasan akibat jangkitan virus Covid-19.
Menerusi perkongsian Instastory, pelakon itu turut memohon agar mendoakan seluruh ahli keluarganya yang kini ditimpa musibah tersebut.
“Mari kita doa ramai-ramai, serius penyakit ini bahaya sangat. Suami saya dah pakai oksigen sekarang ini. Doakan kami sekeluarga,” tulisnya.
Selanjutnya, dia sempat berkongsi rakaman video menunjukkan mesin oksigen tersebut yang dimuat naiknya menerusi Instastory.
Dalam pada itu, keadaan kesihatan suaminya itu turut mendapat perhatian daripada penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti, yang memberi semangat kepadanya menerusi pesanan di Instagram.
“Al-Fatihah, semangat buatmu. Bersabar pasti Allah selamatkan. Jangan lupa sentiasa positif,” ujar Krisdayanti.
Sebelum ini, Rebecca berkongsi berita mengenai keluarganya termasuk tiga pembantu rumah disahkan positif Covid-19, pada 8 Julai lalu.